Penduduk kecewa, projek tidak setimpal kos
TIDAK TEPATI SPESIFIKASI: Ketua Kaum, Nordin Yusof menunjukkan pentas padang bola Kampung Muhibbah yang dibina tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan selain tidak berkualiti.
MIRI: Penduduk di Kampung Muhibbah, Kuala Baram meminta pemaju yang dilantik untuk melaksanakan projek pembinaan pentas di padang kampung mereka supaya mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum ini.
Ketua Kaum Kampung Muhibbah, Nordin Yusof berkata, beliau tidak berpuas hati dengan pembinaan projek itu yang menelan kos RM30,000, kerana ia dilihat gagal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
“Kalau ikut, pentas yang dibina adalah lebih baik, bersesuaian dengan harga projek yang bernilai RM30,000. Namun hasilnya selepas pembinaan, kualiti pentas itu tidak dibina mengikut peruntukan yang diberikan.
“Pemaju menggunakan tiang besi yang lama yang disalut dengan simen manakala kebanyakkan bahan binaan dikitar semula dari pentas lama yang dirobohkan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Menurut Nordin, peruntukan berkenaan telah diberikan oleh Ahli Parlimen Miri merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Baram.
Ujarnya, selain tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, pemaju turut membiarkan tanah liat di padang bola sehingga merosakkan padang itu sendiri.
“Sebelum ini, penduduk kampung banyak membuat aduan sehingga saya menulis surat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin iaitu Datuk Lee Kim Shin untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.
Tambah Nordin, malah pemaju turut berjanji akan membina sebuah tandas untuk kemudahan penduduk kampung yang menggunakan padang bola tersebut.
Projek tersebut dibina awal Mei tahun ini dan siap pada bulan yang sama.
0 comments:
Post a Comment